Harga ikan di Pasar Besar Alor Setar masih stabil. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Harga ikan di Pasar Besar Alor Setar masih stabil. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


PENDUDUK bandaraya ini mula berhadapan masalah kenaikan harga barangan harian selepas peniaga terpaksa menaikkan harga jualan akibat mengalami kekurangan bekalan.

Tinjauan BH di Pasar Besar Alor Setar hari ini, mendapati hampir separuh kedai ditutup dan peniaga yang beroperasi mula menjual barangan pada harga lebih tinggi.

Antara barang mentah yang mengalami kenaikan setiap kilogram adalah cili besar daripada RM8 ke RM12, tomato dari RM3.50 ke RM5, timun dari RM1 ke RM3, bunga kubis dari RM4 ke RM6.50 dan sawi dari RM3 ke RM5.

Bagaimanapun, bahan mentah lain seperti ikan, daging dan ayam masih mudah diperolehi dan harganya juga masih stabil.

Peniaga, Lawrance Thasal, 60, berkata harga barangan naik sejak minggu lalu, apabila pemborong tidak dapat menghantar barangan secara lebih kerap ketika ini.

“Peniaga tak boleh buat apa, kebanyakan sayur diimport dari Thailand dan ada dari Cameron Highlands, masalah berlaku apabila pemborong menghadkan penghantaran barang.

“Ketika ini juga musim kemarau, banyak sayur tidak menjadi, namun tidak semua harga sayur naik. Harga terung masih sama iaitu RM4 sekilogram, kacang panjang RM4.50, kacang bendi RM3.50 dan cili padi RM7,” katanya yang sudah tujuh tahun berniaga di pasar itu.

Peniaga, Khairul Nizam Othman, 40, berkata harga ikan masih stabil terutama ikan pelaling dijual pada harga RM3 sekilogram berikutan bekalannya masih banyak.

“Cuma kami berisiko dijangkiti wabak penyakit berikutan terlalu ramai pelanggan yang datang ke pasar sehingga jarak satu meter sukar dikawal.

“Ada rakan berhenti berniaga sementara kerana takut, tetapi saya tetap teruskan kerana memikirkan stok makanan boleh terputus sekiranya kami semua menghentikan operasi.

Sementara itu, Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip, 60, berkata penularan wavak COVID-19 menyebabkan hanya 60 peratus daripada 400 peniaga di pasar itu beroperasi.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada kekurangan bekalan selain terdapat juga peniaga yang tidak mahu menanggung risiko dijangkiti virus berkenaan.

“Bekalan bahan mentah terutamanya sayur memang sukar diperolehi, disebabkan itu harga semakin meningkat selain berlaku pembelian panik pelanggan sebelum ini.

“Semakin hari semakin banyak stok peniaga susut sehingga daripada 10 peniaga, hanya enam dapat beroperasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 9:44 PM