SEMENYIH 04 OCTOBER 2016. Pegawai LUAS mengambil sampel air. FOTO NSTP
SEMENYIH 04 OCTOBER 2016. Pegawai LUAS mengambil sampel air. FOTO NSTP
Norzamira Che Noh


LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) menemui lapan tong minyak berkapasiti 205 liter dengan dua daripadanya terdedah serta tidak berpenutup di luar stor sebuah kilang bahan binaan di Bestari Jaya.

LUAS pada kenyataan memaklumkan, terdapat kesan kebocoran daripada tong itu yang mengalir masuk ke longkang seterusnya ke alur berhampiran sehingga menyebabkan tiga Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor terpaksa dihenti tugas pagi tadi.

“Tong itu dikenal pasti selepas siasatan menyeluruh dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pengurusan Air Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor (PTDKS), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) serta EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

“Ketika siasatan, terdapat sisa minyak ditemui di aliran air yang mengalir dan seterusnya masuk ke Sungai Selangor dengan jarak kurang daripada satu kilometer (km).

“Premis didapati tidak menjalankan penstoran sisa minyak dengan baik,” katanya.

Menurut kenyataan, LUAS sudah menjalankan pensampelan minyak dan gris termasuk di dalam longkang dan premis berkenaan selain mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis untuk tindakan pembersihan segera.

“Tindakan penguatkuasaan JAS membabitkan pengeluaran kompaun bagi kesalahan-kesalahan yang melibatkan pengurusan buangan terjadual tertakluk dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“MDKS juga mengeluarkan kompaun dan notis kesalahan kepada premis. Pada masa sama, LUAS memasang ‘oil boom’ di kawasan alur yang terbabit bagi mengawal baki aliran minyak daripada mengalir ke Sungai Selangor,” katanya.

Pada masa sama, Air Selangor juga sudah meletakkan karbon aktif (AC) berhampiran premis untuk mengawal pencemaran.

Terdahulu, tiga LRA Sungai Selangor iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihenti tugas 9.40 pagi tadi namun tindakan pantas LUAS dan agensi berkaitan membolehkan LRA kembali beroperasi kira-kira dua jam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 9:39 PM