Norzamira Che Noh


TIGA Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihenti tugas pada 9.40 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan ketiga-tiga loji berkenaan terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran minyak yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 9.30 pagi tadi.

“Pihak Air Selangor sudah melaporkan insiden pencemaran ini kepada pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan semua tindakan yang perlu sedang diambil oleh pihak Air Selangor dan LUAS untuk meminimumkan impak kepada pengguna berikutan insiden ini.

“Pada masa ini bekalan air masih terus disalurkan kepada pengguna dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk twitter, Facebook, instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menasihatkan agar pengguna menggunakan air secara berhemat dalam tempoh ini.

Katanya, pengguna juga digalakkan muat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 1:45 PM