Siti Rohana Idris


“WANG simpanan semua sudah habis dan dalam tangan saya sekarang hanya ada RM60 saja,” kata Nor Azliza Baharom, penduduk Kampung Parit, Kota Bharu.

Nor Azliza, 25, yang sebelum ini menjual roti canai bersama suaminya, Aznan Abdul Hapil, 37, mengakui keadaan mereka bersama dua anak yang masih kecil semakin terdesak malah banyak keperluan tidak dapat dibeli berikutan tiada wang.

Bukan hanya makanan terpaksa dicatu dan makan apa yang ada, lampin pakai buang untuk anak bongsunya yang berusia setahun juga tidak mampu disediakan.

“Lampin pakai buang anak hanya tinggal beberapa keping saja dan saya terpaksa memakaikan sekali sehari saja iaitu ketika tidur pada waktu malam.

“Pada siang hari tidak dipakaikan dan saya terpaksa mencuci air kecil dan besarnya yang dibuang merata-rata,” katanya ketika ditemui hari ini.

Nor Azliza berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), suaminya yang turut bekerja sebagai tukang rumah tidak dapat bekerja dan selain makanan dicatu, mereka juga makan sayuran yang ditanam di sekitar rumah.

Nor Azliza ditemui di pejabat badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Mukim Parit Pasir Tumboh (KBJIKN) ketika menerima agihan sumbangan barang makanan dari pertubuhan itu.

WAKIL KBJIKN menyerahkan sumbangan barangan dapur kepada penerima yang terjejas. FOTO  Nik Abdullah Nik Omar
WAKIL KBJIKN menyerahkan sumbangan barangan dapur kepada penerima yang terjejas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pengerusi KBJIKN, Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata, seramai 70 penerima yang terdiri daripada asnaf dan mereka yang terjejas mengejut berikutan PKP sekitar mukim itu dipilih menerima sumbangan minyak, beras, gula, garam, sardin dan bawang.

“Kami mengumpul semua dana dari ahli sendiri dan orang ramai dalam masa dua hari sebelum membuat pembelian barang makanan kira-kira RM50 untuk setiap penerima.

“Selepas ini akan ada lagi agihan yang sama dan mungkin akan disediakan kupon yang mana penerima akan mendapatkan barangan itu di kedai runcit sendiri,” katanya.

Seorang lagi penerima, Normalasinha Yusoff, 37, berkata dia terpaksa merayu kepada tuan rumah sewanya dan meminta untuk menangguhkan bayaran sewa sebanyak RM300 sebulan.

“Selama ini belum pernah lagi kami melewatkan bayaran tapi untuk situasi PKP ini, saya yakin bukan kami saja yang bertindak menangguhkan bayaran sewa rumah sebegini tapi ramai lagi.

“Sudah lebih seminggu kami tidak menjaja dan dalam tempoh itu wang simpanan semakin surut digunakan untuk membeli makanan ala kadar dan adakalanya terpaksa meminjam dari saudara mara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 11:40 AM