GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Atiqah Sulaiman


SEBANYAK tujuh sekatan jalan raya membabitkan pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diadakan di Putrajaya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, Perbadanan Putrajaya (PPj) turut menutup tujuh lagi laluan yang menghubungkan Putrajaya dengan beberapa kawasan sempadan yang lain seperti Cyberjaya, Dengkil, Pinggiran Putra, Bangi dan Puchong.

“Penutupan jalan berkenaan antara langkah tambahan diambil sepanjang pelaksanaan PKP. Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, belum ada sebarang tangkapan dikenakan kerana pematuhan masyarakat di sini adalah baik.

“Cuma waktu pagi dan petang sedikit sibuk kerana itu adalah masa pergi dan pulang pekerja bagi kategori ‘essential’,” katanya.

Sementara itu, antara kawasan yang terbabit dengan kawalan pemeriksaan pihak PDRM dan ATM ialah Pintu 3, Persiaran Utara menghala keluar ke Puchong di Presint 9; Pintu 2, Persiaran Persekutuan menghala keluar ke Puchong di Presint 13; dan Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil di Presint 5.

Turut diadakan kawalan pemeriksaan ialah di Lebuh Sentosa susur Persiaran Barat - hala keluar ke Cyberjaya; Jalan P14 (Persimpangan Sekolah Antarabangsa Arab) menghala masuk ke Putrajaya; Jalan Resam menghala masuk ke Puchong dan Pintu 2A, Persiaran Utara menghala keluar ke Hospital Serdang.

Bagi penutupan laluan ke kawasan bersempadan Putrajaya pula ia membabitkan Jalan P5 iaitu menghala keluar dan masuk ke Taman Cabaran serta Dengkil di Presint 5; Lebuh Wadi Ehsan menghala keluar Desa Pinggiran Putra di Presint 19; dan Persiaran Timur di susur keluar ke Desa Pinggiran Putra di Presint 16.

Selain itu, turut ditutup ialah Jalan Resam menghala keluar ke Puchong; Jalan Presint 11J menghala keluar dan masuk ke Cyberjaya; Lebuh Sentosa (dari Presint 11) menghala keluar ke Persiaran Utara dan Jalan P14J menghala keluar dan masuk Sg Merab, Bangi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 11:36 AM