GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


TABUNG Baitulmal Sarawak (TBS) menyediakan tiga saluran khas bagi memudahkan orang ramai khususnya individu bekerja sendiri atau bergaji hari yang kehilangan pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Pengurus Besar TBS, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Naile berkata, tiga saluran itu disediakan secara dalam talian berikutan pihak TBS tidak dapat bertemu secara langsung dengan orang ramai ketika PKP.

“Semua kemudahan itu kami sediakan dengan menggunakan telefon bimbit. Kedah pertama, mereka yang berhasrat mendapatkan bantuan TBS boleh mengemukakan permohonan menerusi aplikasi Jejak Asnaf Versi 2 yang boleh dimuat turun menerusi Appstore atau Playstore.

“Menerusi aplikasi Jejak Asnaf itu, seseorang itu juga boleh mencadangkan orang lain yang layak menerima bantuan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurutnya, kaedah kedua, orang ramai boleh mengemukakan permohonan menerusi portal ‘Baitulmal Kamek’ dengan melayari https://pelanggan.tbs.org.my.

“Bagi kaedah ketiga, orang ramai boleh mengemukakan permohonan atau berkomunikasi dengan TBS menerusi emel [email protected].

“Setiap pemohon yang mengemukakan permohonan menerusi mana-mana kemudahan yang disediakan itu akan dihubungi pegawai TBS bagi mendapatkan butiran lanjut.

“Kami perlu meneliti setiap butiran pemohon kerana tidak mahu orang yang tidak sepatutnya mengambil kesempatan dalam keadaan sekarang,” katanya.

Abang Mohd Shibli berkata, ketika ini seramai 1,756 asnaf yang berdaftar di Sarawak menerima bantuan bulanan daripada TBS.

“Apabila negara dilanda Covid-19, jumlah asnaf meningkat mendadak dan kami sedaya upaya membantu mereka yang terjejas,” katanya.

Katanya, TBS kini dalam proses mewujudkan Pusat Pengagihan Ummah di Medan Hamidah di Kuching, khusus bagi mengagihkan bantuan keperluan makanan kepada mereka yang layak di kawasan berkenaan.

“Bagi kawasan lain, bantuan akan disalurkan menerusi kedai yang ditetapkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:54 PM