SALAH sebuah kedai runcit yang beroperasi mengikut masa yang ditetapkan oleh pihak Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di Taman Seri Lambak, Kluang. FOTO  Adnan Ibrahim
SALAH sebuah kedai runcit yang beroperasi mengikut masa yang ditetapkan oleh pihak Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di Taman Seri Lambak, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


TEMPOH operasi premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di Simpang Renggam, diperketatkan bermula semalam sehingga 31 Mac ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Mohamad Sukry Abdul Rahim berkata, sepanjang tempoh itu, pasar awam hanya boleh beroperasi dari 7 pagi hingga 12 tengah hari, manakala pasar pagi, malam dan tani, tidak dibenarkan sama sekali beroperasi.

Menurutnya, bagi operasi restoran, kedai makan, runcit, serbaneka 24 jam, gerai penjaja, bahu jalan, food truck , termasuk yang menawarkan perkhidmatan penghantaran serta pandu lalu hanya dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam.

Beliau berkata, stesen minyak, termasuk operasi penjualan barang serbaneka di stesen berkenaan hanya dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam.

“Klinik swasta dan farmasi, begitu juga perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 9 malam.

“Semua premis perniagaan di kawasan pentadbiran MDSR perlu mematuhi arahan itu sebagaimana yang dinyatakan melalui pekeliling yang diedarkan berkuat kuasa 22 Mac (semalam) hingga 31 Mac ini,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohamad Sukry berkata, operasi premis perniagaan yang tidak termasuk dalam senarai dibenarkan beroperasi dikehendaki menutup premis mereka.

“Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai mematuhi arahan ini bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan selaras dengan peruntukan kuasa kepada Majlis Daerah Simpang Renggam mengikut Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) 1976.

“Pematuhan tindakan oleh semua pihak dan kerjasama orang ramai diharapkan dapat membantu membendung wabak koronavirus baharu (Covid-19) ini daripada terus merebak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 5:00 PM