PUSAT saringan pelajar untuk memeriksa Covid -19 di Kolej Kediaman Ibu Zain UKM pada Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Saifullizan Tamadi
PUSAT saringan pelajar untuk memeriksa Covid -19 di Kolej Kediaman Ibu Zain UKM pada Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Saifullizan Tamadi
Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) berkemampuan menjalankan 16,000 ujian saringan Covid-19 setiap hari, bermula April ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM ketika ini mempunyai 23 makmal termasuk lima makmal swasta yang menjalankan saringan itu.

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah KKM sedang melatih sebuah makmal di Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi, dua makmal angkatan tentera dan dua makmal universiti untuk menjalankan ujian itu.

“Setakat ini, sebanyak 3,500 ujian dijalankan setiap hari dan kita jangkakan ia akan meningkat kepada 7,000 ujian sehari pada minggu depan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Noor Hisham, jangkaan berlaku peningkatan kes dengan lebih banyak saringan perlu dilakukan, KKM mengambil inisiatif menambah jumlah makmal untuk tujuan itu.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti beberapa makmal lain termasuk makmal universiti yang berkeupayaan untuk menjalankan ujian diagnostik mengesan virus Covid-19.

“Kita akan meningkatkan kemampuan untuk menguji 16,000 sampel bermula bulan depan,” katanya.

Malah, katanya, kit ujian menggunakan kaedah PCR (mengesan genetik virus) juga mencukupi untuk mencapai sasaran itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 8:12 PM