Ruwaida Md Zain

SERAMAI 7,000 anggota Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) ditugaskan membantu pihak polis dalam memantau pergerakan orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac depan.

Panglima Briged ke 11 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Norsham Md Tap berkata, daripada jumlah itu, seramai 540 anggota ATM membantu Polis Selangor.

"Saya berharap kerjasama ini dapat memberi manfaat dan meningkatkan kesedaran masyarakat supaya mematuhi Perintah Pergerakan," katanya selepas meninjau sekatan jalan raya sempena Perintah Kawalan Pergerakan di Bukit Jelutong, di Shah Alam, Selangor tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Norsham berkata, selain sekatan jalan raya, pihaknya turut membantu pasukan peronda polis (MPV) dalam rondaan di setiap daerah di seluruh negara.

"Kami akan membantu anggota MPV untuk membuat rondaan. Kami berharap usaha ini berkesan.. ini bukan operasi membanteras musuh.

"Kami mahu nasihat rakyat jangan keluar rumah, duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini," katanya.

Terdahulu Baharudin mengesahkan seramai 106 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama anggota ATM menjalankan sekatan jalan raya sepanjang masa di kesemua laluan masuk ke bandaraya terbabit.

"Antara lokasi sekatan jalan raya termasuklah di Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26, bekas tapak Tol Sungai Rasau di Lebuh Raya Persekutuan serta di Lebuh Raya Guthrie (bawah jejambat berdekatan NSTP).

"Saya melihat jumlah pergerakan orang ramai di tempat terbuka sekitar bandaraya itu juga semakin berkurangan berbanding pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan," katanya selepas taklimat kepada anggota ATM berhubung tugasan PKP, Shah Alam.

Katanya, pergerakan orang awam di Shah Alam ini semakin berkurang, hanya lima hingga 10 peratus sahaja yang masih dilihat keluar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 7:17 PM
Anggota Polis Diraja Malaysia dibantu anggota Tentera Darat untuk menguatkuaskan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memantapkan kawalan bagi menangani penularan Covid-19 ketika sekatan jalan raya di lebuh raya Guthrie menuju arah Shah Alam. Foto Asyraf Hamzah
Anggota Polis Diraja Malaysia dibantu anggota Tentera Darat untuk menguatkuaskan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memantapkan kawalan bagi menangani penularan Covid-19 ketika sekatan jalan raya di lebuh raya Guthrie menuju arah Shah Alam. Foto Asyraf Hamzah