Remaja yang terbabas di kawasan sawah kering ketika melarikan diri daripada pihak polis. FOTO Ihsan PDRM
Remaja yang terbabas di kawasan sawah kering ketika melarikan diri daripada pihak polis. FOTO Ihsan PDRM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KIRA-KIRA 50 remaja bertempiaran lari dengan motosikal mereka sejurus melihat kehadiran polis ketika berkumpul di Titi Chai, Kangar, awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perlis, Deputi Superintendan Rusli Yahaya berkata, dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, kesemua mereka melarikan diri sehingga ada antaranya terbabas ke dalam kawasan sawah yang kering.

Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan serius dialami dan pihak polis membantu remaja yang terbabas itu meskipun mereka didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kesemua mereka dikesan sedang leka bermain di atas jalan raya selain bertindak mempamerkan kehebatan menunggang motosikal.

“Sejurus melihat pasukan polis membuat rondaan, mereka bertindak melarikan diri ke kawasan kampung.

“Tabiat ini seakan sudah biasa bagi mereka memandangkan ia adalah malam minggu, namun kita bertegas kerana ketika ini adalah tempoh PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rusli berkata, pihaknya meminta ibu bapa agar memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka mematuhi tempoh pelaksanaan PKP sehingga 31 Mac ini.

“Sentiasalah memantau dan memastikan ahli keluarga sentiasa patuh terhadap larangan PKP ini demi membendung penularan Covid-19.

“Masyarakat juga diharap tidak berhimpun sebaliknya tinggal dan berada di dalam rumah masing masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 4:55 PM