GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

STESEN minyak di enam daerah di Pahang, yang diarahkan menghentikan operasi perniagaan bermula 7 malam hingga 7 pagi sebelum ini, kini dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, bagaimanapun, berkata hanya perkhidmatan isian minyak sahaja yang dibenarkan, manakala kedai serbaneka di stesen minyak tidak dibenarkan beroperasi mulai 10 malam hingga 6 pagi.

Katanya, ketetapan itu berkuat kuasa mulai hari ini (21 Mac) sehingga 31 Mac atau sehingga Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak koronavirus baharu (Covid-19) yang diumumkan kerajaan, ditarik semula.

“Ini adalah bagi kemudahan orang ramai untuk mengisi minyak kenderaan. Bagaimanapun, arahan penutupan bagi premis perniagaan lain seperti yang dinyatakan sebelum ini, adalah masih sama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Semalam, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mengumumkan semua premis perniagaan di Kuantan, Pekan, Temerloh, Jerantut dan Bentong, perlu menghentikan operasi mereka bermula 7 malam hingga 7 pagi berkuat kuasa hari ini.

Arahan itu berkuat kuasa di Cameron Highlands sejak Rabu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 12:04 AM