GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Shahrinnahar Latib


KERAJAAN Pahang mengetatkan larangan Perintah Kawalan Pergerakan dengan mengarahkan premis perniagaan menutup operasi bermula 7 malam di lima daerah hotspot positif koronavirus baharu (Covid-19) bermula 21 Mac ini.

Antara premis yang perlu menutup operasi bermula 7 malam ialah kedai serbaneka 24 jam, kedai makan dan stesen minyak.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lima daerah itu ialah Kuantan, Pekan, Jerantut, Temerloh dan Bentong dengan jumlah keseluruhan kes terbaru dicatat pada hari ini ialah 32 kes.

“Penutupan ini bermula 7 malam sehingga 7 pagi. Cameron Highlands sudah melaksanakan arahan itu sejak semalam,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diharap dapat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan kekal di rumah masing-masing bagi memastikan tiada peningkatan kes yang ketara dalam masa terdekat.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19.

Katanya, peruntukan menerusi Kerajaan Negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu akan diperincikan kemudian.

“Kerajaan negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri yang membabitkan 2,895 penerima.

“Ini bermakna, Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) untuk bulan April akan dipercepatkan pembayarannya pada 27 Mac 2020 ini.

“Selain itu, bagi meringankan beban penyewa premis perniagaan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang), kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis akan diberikan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:15 PM