BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada Selasa.

Dalam kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia terus berdoa bersama baginda memohon ihsan Allah supaya usaha-usaha membendung wabak Covid-19 dirahmati, diberkati dan situasi dapat ditangani serta berakhir dengan segera.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas di Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, khususnya para petugas di barisan hadapan yang telah berkerja dengan semangat yang tinggi dan tanpa mengira penat lelah,” katanya.

Malaysia mencatatkan 673 kes Covid-19 sehingga semalam dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengisytiharkan kematian pertama akibat wabak itu, membabitkan dua lelaki.

Terdahulu, baginda berdua berkenan melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.

Keberangkatan baginda berdua di CPRC disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Timbalan Menteri I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri II Datuk Aaron Ago Dagang.

AL-SULTAN Abdullah menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini. FOTO ISTANA NEGARA
AL-SULTAN Abdullah menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini. FOTO ISTANA NEGARA

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Fadil berkata, ketika di CPRC, Al-Sultan Abdullah diberi sembah taklimat berkenaan operasi pemantauan, pengumpulan dan perkongsian maklumat berkenaan wabak Covid-19.

“Sebagai maklumat balas, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan bahawa baginda telah berbincang dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika sesi Pra-Kabinet berkenaan status bekalan perubatan dan disembah maklum bahawa peruntukan akan disediakan mengikut keperluan perubatan semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 3:47 PM