Gambar Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Gambar Hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Putrajaya akan memberi keutamaan ke atas keyakinan pelabur, supaya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dipertingkatkan.

“Saya mengambil peluang ini untuk memberitahu perniagaan dan pelabur bahawa kita faham (masalah mereka) dan kita akan melakukan sesuatu mengenainya.

“Ini sesuatu keadaan penting yang kita tidak boleh tangguhkan, itulah sebabnya mengapa kita perlukan laporan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sebagai langkah untuk menangani perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama EAC di Putrajaya, hari ini.

Menurut Perdana Menteri lagi, adalah perlu bagi menjadikan ekonomi Malaysia sentiasa mampan dan bukan sekadar untuk tempoh yang singkat.

“Kita ada beberapa isu yang perlu ditangani dan kita diberi taklimat oleh Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia tentang apa yang perlu kita lakukan bagi menangani keadaan tersebut,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan menyedari sepenuhnya tindakan dan langkah yang perlu diambil untuk menangani keadaan semasa, sambil menambah, “Bersabarlah... dan lihat apa yang boleh kita lakukan untuk membantu anda.”

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 12:03 AM