SATU daripada tiga gerai yang dibakar suspek. FOTO Ihsan polis.
SATU daripada tiga gerai yang dibakar suspek. FOTO Ihsan polis.
Recqueal Raimi


SEORANG lelaki ditahan kira-kira sejam selepas membakar tiga gerai menjual pakaian terpakai di pekan Ranau hingga pemiliknya kerugian RM49,330.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, tangkapan dibuat sejurus laporan diterima daripada tiga pemilik gerai, kelmarin.

Katanya, suspek berusia 40-an diberkas di tepi Jalan Ranau-Tambunan dekat Kampung Kiaburi pada 7.40 malam.

“Siasatan awal mendapati dia melakukan kebakaran itu sendirian dan memulakan kebakaran pertama pada 3 pagi di gerai yang berhadapan bangunan UMNO yang mana pemiliknya rugi RM35,000.

“Kebakaran kedua di gerai dekat Tugu 100 tahun berlaku pada 6.40 petang dengan pemilik RM5,100, manakala kejadian ketiga dicetuskan lima minit selepas insiden kedua dekat pasar sayur yang juga menjual pakaian terpakai.

“Peniaga itu kerugian RM9,230,” katanya dihubungi.

Sammy berkata, suspek didapati di bawah pengaruh alkohol ketika ditahan dan membawa beberapa barang dipercayai digunakan untuk membakar gerai.

“Penahanan itu menyelesaikan ketiga-tiga kes namun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 11:11 AM