Foto hiasan
Foto hiasan
Abdul Rahemang Taiming

SABAH merekodkan 11 kes baharu jangkitan virus Covid-19 tertinggi dikesan di seluruh negara pada hari ini sekali gus menjadikan sebanyak 26 kes keseluruhan dikesan di negeri itu.

Peningkatan itu adalah yang kedua tertinggi negeri itu selepas sebanyak 15 kes dicatatkan semalam selepas individu pertama positif wabak itu dikesan membabit seorang lelaki berusia 58 tahun pada Khamis lalu.

Lelaki itu antara 350 jemaah tabligh dari Tawau yang pernah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu dan kini sedang dirawat di Hospital Besar Tawau.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjangkakan lebih banyak kes Covid-19 akan dikesan di negeri itu.

Berikutan itu, Pengarah JKNS Datuk Dr Christina Rundi menyeru orang ramai supaya mengikuti saranan bagi mencegah penularan wabak itu seperti mengamalkan tahap kebersihan tinggi dan tidak mengadakan sesi perjumpaan atau majlis membabitkan orang ramai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 9:17 PM