YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama
Suraya Roslan


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perhimpunan membabitkan orang ramai seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, rakyat yang mengalami gejala Covid-19 dinasihatkan supaya tidak menghadiri program membabitkan orang ramai atau tempat yang padat.

“Baginda juga menyeru semua masjid di negara ini supaya memendekkan khutbah solat Jumaat dan menyediakan alat pengesan suhu, pembasmi tangan serta penutup mulut dan hidung sebagai langkah mencegah jangkitan Covid-19,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, baginda menyeru rakyat berwuduk dari rumah sebelum ke masjid dan rakyat yang mengalami gejala Covid-19 dinasihatkan supaya tidak menghadiri solat Jumaat seperti mana saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya semua masjid di negara ini mengadakan bacaan doa Qunut Nazilah semasa solat Subuh dan solat Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat dari wabak Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah prihatin dan mengikuti perkembangan terkini penularan Covid-19 dan menzahirkan kebimbangan baginda terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat berikutan kenaikan kes terbaru jangkitan virus di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, baginda turut menyeru peserta menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga Mac 1 memberi kerjasama kepada KKM dengan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah.

“Rakyat turut digesa menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui laman sesawang KKM untuk sebarang pertanyaan dan mengelakkan penyebaran maklumat boleh mencetuskan panik,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera, rawatan serta pemantauan berterusan KKM dan agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 6:04 PM