ANWAR. FOTO Reuters
ANWAR. FOTO Reuters
Ahmad Suhael Adnan


PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan orang Melayu masih menyokongnya, berdasarkan keputusan beberapa pilihan raya yang pernah ditandinginya sebelum ini.

BH Online melaporkan Anwar berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin menolaknya, namun sentimen itu tidak dikongsi oleh majoriti orang Melayu.

"Tun Mahathir tolak saya, tapi orang Melayu, saya belum pastilah sebab saya bertanding di semua kawasan, majoriti besar orang Melayu sokong saya.

"Di Port Dickson, majoriti lebih 60 peratus orang Melayu sokong saya. Di Permatang Pauh, majoriti penduduk di situ adalah Melayu," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir seperti dilaporkan Sinar Harian semalam, yang mendakwa orang Melayu menolak Anwar kerana Ahli Parlimen Port Dickson itu berpegang pada fahaman politik liberal.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, orang Melayu bimbang kedudukan mereka terancam jika menerima ideologi liberalisme kerana kelebihan kaum itu hanyalah kuasa politik dan tidak memiliki kuasa ekonomi.

Ketika ditanya mengenai pendirian Dr Mahathir terhadap PH, Anwar seperti menyindir Ahli Parlimen Langkawi itu apabila meminta wartawan bertanyakan soalan itu kepada Dr Mahathir yang mungkin mengubah fikirannya nanti.

"Kamu kena tanya dia, sebab dia mungkin ubah fikiran esok, dan harapnya dia akan kekal konsisten dengan pandangannya.

"Kalau tanya pendirian PH, PH setakat kita bermesyuarat pagi tadi hanya membabitkan PKR, DAP dan Amanah. Tapi kita akan terus berbincang termasuk dengan Tun Mahathir," katanya.

Berhubung Dr Mahathir dilaporkan percaya Perikatan Nasional (PN) akan kekal sebagai kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Anwar enggan memberi maklum balas pada kenyataan Dr Mahathir yang disifatkannya sebagai ‘banyak bercanggah’.

"Saya tak mahu beri maklum balas pada kenyataan Tun Mahathir yang banyak bercanggah, cuma fokus kami ekonomi dan isu wabak Covid-19," katanya.

Sebelum ini, portal berita melaporkan bekas Perdana Menteri itu menolak cadangan mengangkat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Dr Mahathir berjaya membentuk kerajaan ketika kemelut politik baru-baru ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini turut dilaporkan menyifatkan kegagalannya membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri ketika kemelut politik itu adalah kerana Anwar menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 5:27 PM