ANGGOTA bomba memulakan pencarian Patrick Igih pagi tadi sebelum operasi ditamatkan selepas sembilan hari gagal mengesan kanak-kanak itu. FOTO BOMBA
ANGGOTA bomba memulakan pencarian Patrick Igih pagi tadi sebelum operasi ditamatkan selepas sembilan hari gagal mengesan kanak-kanak itu. FOTO BOMBA
Mohd Roji Kawi


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki tiga tahun yang hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Rapak Baru, Pantu di sini, ditamatkan 5 petang tadi.

Operasi hari kesembilan itu ditamatkan selepas gagal mengesan Patrick Igih dengan persetujuan daripada bapa mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan diadakan antara agensi yang terbabit dalam SAR serta persetujuan keluarga mangsa.

“Operasi SAR hari kesembilan membabitkan 59 anggota pelbagai agensi dijalankan dalam radius tujuh kilometer dari Pusat Kawalan Bomba.

“Bagaimanapun, sehingga jam 5 petang, tiada sebarang petanda ditemui dan SAR ditamatkan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Operasi SAR diaktifkan sebaik JBPM Sarawak menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada jan 2.33 petang, Rabu minggu lalu.

Patrick dikatakan mengikut bapa dan datuknya ke kawasan ladang berkenaan pada jam 9 pagi hari berkenaan.

Ketika bapa dan datuknya mengiringi kakitangan sebuah agensi menghantar barang ke puncak bukit berdekatan ladang itu, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan sendirian di dalam sebuah pondok.

Kanak-kanak itu disedari hilang selepas datuknya kembali ke pondok berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 8:24 PM