Annuar Musa perlu mendapatkan maklumat dari kesemua agensi di bawah kementerian diterajuinya di Kementerian Wilayah Persekutuan
Annuar Musa perlu mendapatkan maklumat dari kesemua agensi di bawah kementerian diterajuinya di Kementerian Wilayah Persekutuan
BERNAMA

“SAYA akan terlebih dahulu mendengar taklimat kementerian dan meneliti Pelan Pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya,” ujar Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, beliau terlebih dahulu akan mengenali kesemua agensi di bawah kementerian itu dan mendengar taklimat mengenainya.

“Beri peluang terlebih dahulu kepada saya untuk mendengar taklimat oleh ketua-ketua jabatan. Mereka patut beri taklimat kepada saya dan ia tidak akan mengambil masa yang lama. Profesion saya sebelum ini ialah seorang perancang bandar.

“Tidak terlalu sukar untuk saya memahaminya ...kemudian saya akan buat keputusan,” katanya sebelum memulakan sesi taklimat bersama kesemua agensi di bawah kementerian diterajuinya di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Annuar mengulas mengenai saranan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang dilaporkan berharap barisan Kabinet baharu akan meneruskan Pelan Pembangunan Kampung Baru dan tidak membatalkannya.

Berpengalaman luas dalam aspek perancangan bandar dan menjadi Ahli Institut Perancang Malaysia, Annuar juga pernah berkhidmat sebagai penolong pengarah Perancang Bandar di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1981 hingga 1982.

Ditanya mengenai kenyataannya di laman Twitternya, Annuar yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata kerajaan baharu yang baru dibentuk akan berusaha menyelesaikan permasalahan besar yang dihadapi negara demi rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 7:41 PM