KEADAAN sekitar Pantai Cahaya Bulan.
KEADAAN sekitar Pantai Cahaya Bulan.
Syaherah Mustafa


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengeluarkan kompaun kepada seorang pengusaha kedai makan yang mengenakan harga tidak masuk akal di Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Azanizam Affendi Juri, berkata dalam operasi 5 petang itu, mereka memeriksa kedai terbabit selepas menerima aduan daripada orang awam.

Beliau berkata, peniaga terbabit iaitu wanita berusia 50-an mengaku melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga selain mengenakan bayaran mahal kepada pelanggan.

“Pihak KPDNHEP bertindak di atas aduan orang ramai di media sosial berhubung sebuah kedai makan di PCB yang mengenakan harga makanan RM91 termasuk tom yam udang berharga RM30 kepada dua pelanggan.

“Hasil soal siasat, pemilik kedai terbabit memberi alasan udang dipesan pelanggan terbabit bersaiz besar, namun dia tidak memaparkan tanda harga sebenar yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Peniaga terbabit melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan satu kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis atas kesalahan ini,” katanya.

Semalam, tular di media sosial seorang pelanggan yang memuat naik senarai harga makanan didakwa mahal dan berjumlah RM91 dikenakan peniaga selepas makan berdua di sebuah kedai makan di PCB.

Catatan tertera menu makanan iaitu tom yam udang, sotong kunyit, ‘KIM’ (kailan ikan masin), ‘NP’ (nasi putih), minuman dan satu lagi menu tidak terlihat dengan jelas dan disertakan senarai harga bagi setiap pesanan.

Azanizam berkata, kes sedemikian pernah berlaku di PCB, malah lokasi terbabit dikenali sebagai tempat makan dengan harga mahal.

“Bagaimanapun, pemeriksaan KPDNHEP mendapati hanya kedai makan tertentu di PCB gagal mempamer tanda harga dan kami giat melaksanakan operasi bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang dan melindungi hak pengguna.

“Saya menasihatkan kepada peniaga agar sentiasa mempamerkan tanda harga bagi setiap jualan agar tidak mengelirukan pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 9:12 PM