BOT nelayan yang ditahan APMM di perairan Kuala Kedah. FOTO IHSAN APMM
BOT nelayan yang ditahan APMM di perairan Kuala Kedah. FOTO IHSAN APMM
Zuliaty Zulkiffli


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah menahan bot nelayan pukat tunda kelas C kerana menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika di Kuala Kedah, Alor Setar, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, dalam serbuan jam 7.30 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang tekong dan dua awak-awak warga Thailand.

Menurutnya, bot nelayan itu ditahan pada jarak 9.4 batu nautika barat daya Sungai Limau.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 53 hingga 63 tahun dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen.

“Hasil tangkapan mereka cuba dibuang ke dalam laut dipercayai untuk menghapuskan bahan bukti namun kecekapan anggota berjaya menahan bot terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahmad Faizal berkata, bot nelayan itu sebelum ini pernah dilaporkan melakukan kesalahan yang sama oleh beberapa kumpulan nelayan dan turut ditularkan di media sosial.

Beliau berkata, tindakan bot berkenaan boleh menjejaskan mata pencarian nelayan tradisional.

“Bot bersama kesemua nelayan yang ditahan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Saya menegaskan kepada semua pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan,” katanya.

Katanya, APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 4:37 PM