RUANG bersembunyi di sebuah pusat hiburan di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. FOTO IHSAN POLIS
RUANG bersembunyi di sebuah pusat hiburan di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. FOTO IHSAN POLIS
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


DUA lelaki mendakwa terkejut dengan serbuan dilakukan pihak polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Pahang, di sini, menyebabkan mereka memanjat siling dalam premis berkenaan.

Tindakan itu mengundang padah apabila seorang daripada mereka terjatuh dari siling berkenaan yang runtuh sebelum kedua-dua pekerja premis berkenaan berjaya ditahan untuk pemeriksaan.

Itu antara gelagat pengunjung dan pekerja empat pusat hiburan yang diserbu dalam Operasi Club Rats dilakukan di empat pusat hiburan iaitu di Jalan Pahang, Jalan Klang Lama, Jalan Doraisamy dan Bangsar Baru, di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi membabitkan 17 pegawai dan 93 anggota bermula kira-kira jam 1 pagi itu, seramai 400 individu diperiksa termasuk 16 pengunjung bawah umur berusia antara 19 hingga 21 tahun yang sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke pusat hiburan.

Operasi berkenaan juga menggunakan khidmat daripada Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mengesan dadah di dalam empat pusat hiburan yang diserbu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, daripada jumlah itu, seramai 60 individu termasuk 20 wanita ditahan selepas hasil ujian saringan awal dilakukan terhadap mereka positif dadah.

“Dalam operasi ini, ada premis yang kerap diserbu, namun masih berdegil melakukan kesalahan sama termasuk membenarkan pengunjung bawah umur masuk ke dalam pusat hiburan.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Adnan berkata, pihaknya juga ada mengesan kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung di beberapa pusat hiburan di sekitar ibu kota ini.

“Kebanyakan pengunjung yang mengambil bahan terlarang itu menggunakan dadah berbentuk serbuk yang dicampurkan dalam minuman sebagai hiburan.

“Justeru, kami komited untuk melakukan operasi berterusan untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam pusat hiburan di sekitar pusat bandar ini,” katanya.

Keterangan gambar:

1. KETUA Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon menunjukkan siling yang runtuh di sebuah pusat hiburan di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, selepas dipanjat dua lelaki yang cuba melarikan diri dalam Op Club Rat, awal pagi tadi.

2. ANTARA pengunjung yang diperiksa dan diarahkan untuk menjalani ujian saringan air kencing dalam operasi berkenaan.

3. ANJING pengesan turut digunakan dalam operasi terbabit.

4. DUA lelaki yang ditahan untuk pemeriksaan selepas menaiki siling di sebuah pusat hiburan di Jalan Pahang.

5. ANTARA pengunjung bawah umur yang diperiksa dalam operasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 8:38 PM