KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan dan mengorbankan seorang remaja. (Gambar kecil) Muhammad Farihin Idham. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan dan mengorbankan seorang remaja. (Gambar kecil) Muhammad Farihin Idham. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


GERAK hati seorang wanita berpatah balik untuk melihat kemalangan yang berlaku menjadi petunjuk mangsa adalah anak saudaranya sendiri.

Fazilah Hashim, 54, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Batu 1, Pekan Sabak Bernam ke rumahnya di Kampung Bagan Nakhoda Omar (BNO) untuk menghantar makanan.

Katanya, ketika melalui lokasi kejadian di Jalan Batu 40, Sabak Bernam, dia ternampak sekujur tubuh ditutupi kain terbaring atas jalan raya.

“Pada mulanya, saya mahu teruskan perjalanan, tetapi rasa tidak sedap hati. Saya kemudian berhenti dan menghubungi mak arwah (Fairus Hashim, 38) bertanya di mana arwah berada.

“Dia (Fairus) memberitahu arwah dan adiknya keluar membuang sampah. Ketika itu, hati saya berdebar semula dan segera berpatah balik melihat kemalangan itu.

“Rupa-rupanya, mayat itu anak saudara saya sendiri,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam, hari ini.

Dalam kemalangan pada 8.10 pagi itu, Muhammad Farihin Idham Mohamad Taufik, 14 maut di tempat kejadian dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal.

Sementara adik mangsa, Muhammad Fariz Zaquan Mohamad Taufik, 10, parah di kepala, manakala seorang lagi penunggang motosikal berusia 21 tahun patah kaki dan tangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kemalangan berlaku ketika dua beradik itu dalam perjalanan dari Pekan Sabak Bernam ke rumah mereka di Batu 38, manakala seorang lagi penunggang motosikal dari BNO ke Jalan Tepi Estet, Sabak Bernam.

“Tiba di lokasi, dua motosikal itu disyaki bergesel antara satu sama lain dan terjatuh menyebabkan semua mangsa tercampak di atas jalan raya.

“Muhammad Farihin Idham disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi dibawa ke HTAJ Sabak Bernam sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) kerana kecederaan serius pada kepala,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, jenazah Muhammad Farihin Idham akan disembahyangkan di Masjid Ubudiah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Nakhoda Omar selepas selesai bedah siasat yang dilakukan pada 4 petang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 4:41 PM