Mohamed Farid Noh


BARISAN Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu dijadual mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, pagi ini.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, dilapor sudah mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi bagi memohon perkenan senarai akhir barisan Exco Johor, petang semalam.

Pejabat Menteri Besar juga sudah mengeluarkan jemputan media yang menyatakan kerajaan Gabungan Baharu akan mengadakan sidang media khas di kediaman rasmi Menteri Besar pada 10 pagi ini.

Sementara itu, nama yang dijangka bakal membarisi pentadbiran negeri ialah Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang), Ayub Jamil (BN-Rengit), Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang), Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang) serta Pengerusi MIC Johor, R Vidyanathan (BN-Kahang).

Exco daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor pula dijangka membabitkan Pengerusinya Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (Tenang), Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai).

Satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Johor iaitu Kapten (B) Najib Lep (Bukit Pasir) dijangka turut tersenarai bersama ADUN Bebas, Dr Chong Fat Full (Pemanis) yang mewakili kaum Tionghua.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 8:56 AM