MUHAMAD Azfar Rafiuddin bersama ibunya ketika mengambil keputusan di SMK Sandakan. FOTO Ihsan SMK Sandakan
MUHAMAD Azfar Rafiuddin bersama ibunya ketika mengambil keputusan di SMK Sandakan. FOTO Ihsan SMK Sandakan
Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


MESKIPUN hanya memulakan persekolahan di peringkat sekolah menengah ketika berusia 16 tahun, ia tidak menghalang hafiz al-Quran ini mendapat 9A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang diumumkan, hari ini.

Kecemerlangan Muhamad Azfar Rafiuddin Anwar, 17, dalam SPM itu cukup istimewa memandangkan dia tidak pernah mengikuti sesi persekolahan daripada Tingkatan Satu hingga Tiga selepas tamat sekolah rendah kerana dihantar belajar di sekolah tahfiz.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan ini mengakui memang payah untuknya belajar beberapa subjek seperti Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Sejarah kerana tidak mempunyai pengetahuan asas di peringkat menengah sebelum itu.

“Untuk itu, saya terapkan kaedah belajar di tahfiz dahulu, saya bangun belajar seawal jam 3 pagi kerana ketika itu fikiran kita akan mudah mengingati pelajaran.

“Dalam masa sama, saya juga meminta rakan sekelas mengajar saya subjek tertentu dan belajar Bahasa Inggeris melalui Youtube,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad berkata, dia merancang untuk melanjutkan pelajaran di sebuah madrasah di Selangor selepas disarankan ibu bapanya yang masing-masing seorang pengetua sekolah dan guru sekolah menengah.

“Ayah dan ibu mahu saya sambung ke madrasah di Selangor untuk belajar kitab, Bahasa Arab dan ilmu agama Islam yang lebih dalam lagi.

“Ia juga menjadi pilihan saya kerana sudah sebati dalam hati untuk menuntut ilmu agama Islam dan ilmu akademik bukanlah untuk mendapatkan kelulusan sahaja,” katanya.

Katanya, dia bercita-cita menjadi seorang penceramah bebas dan juga seorang peguam syarie.

Sementara itu, Pengetua SMK Sandakan, Albert Bayoi berkata, sekolahnya mendapat gred purata kelulusan 5.60 bagi SPM tahun ini dan ia kekal sama dengan gred tahun lalu.

“Seramai 16 pelajar pula mendapat 5A dan ke atas dan Muhamad Azfar Rafiuddin adalah pelajar terbaik dengan 9A.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar dan guru-guru yang menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:57 PM