LORI membawa muatan kayu balak terbalik dan menghempap sebuah kereta di Jalan Bukit Teh menghala Machang Bubok, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO ihsan bomba.
LORI membawa muatan kayu balak terbalik dan menghempap sebuah kereta di Jalan Bukit Teh menghala Machang Bubok, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Zuhainy Zulkiffli


TINDAKAN pemandu kereta menukar lorong secara tiba-tiba dipercayai menyebabkan kemalangan membabitkan treler muatan kayu balak dengan kereta di Jalan Bukit Teh, Machang Bubok, Bukit Mertajam, hari ini.

Kejadian itu menyebabkan pemandu kereta terbabit, Ong Yean Leng, 37, berasal dari Machang Bubok, maut di tempat kejadian selepas keretanya terbabas dan terhimpit di bawah treler berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Mohd Mustafa Bidin ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati ketika pemandu treler berada di jalan menghala ke arah Jawi, kereta terbabit masuk ke lorong bertentangan.

Beliau berkata, akibatnya berlaku pertembungan kedua-dua kenderaan itu dan pemandu treler yang hilang kawalan masuk ke bahagian kanan bahu jalan.

“Treler dipandu lelaki berusia 56 tahun itu terbabas bersama muatan kayu balak sebelum terbalik dan menghempap kereta dipandu wanita berkenaan.

“Kerja menyelamat bagi mengeluarkan mayat mangsa mengambil masa selama tiga jam,” katanya.

Mohd Mustafa berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan kemalangan terbabit berlaku pada 3.58 petang dan kerja menyelamat dilakukan pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan menggunakan dua kren bagi mengalihkan treler dan kayu balak yang menghempap kereta.

Mangsa berjaya dikeluarkan pada 7.26 malam.

Berita berkaitan

'Mangsa tersepit di tempat duduk'

'Lori balak 'tindih' kereta'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 11:14 PM