ANGGOTA polis membawa Aziz Mohd yang akan menghadapi pertuduhan Seksyen 326 Kanun keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengakibatkan cedera parah seorang anggota polis dengan menyimbah asid yang membahaya di Indera Mahkota baru-baru ini. FOTO Zulkepli Osman
ANGGOTA polis membawa Aziz Mohd yang akan menghadapi pertuduhan Seksyen 326 Kanun keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengakibatkan cedera parah seorang anggota polis dengan menyimbah asid yang membahaya di Indera Mahkota baru-baru ini. FOTO Zulkepli Osman
Asrol Awang


SEORANG penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas tuduhan dengan niat mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis pada 24 Februari lalu.

Tertuduh, Aziz Mohd, 41, dari Chukai, Kemaman, Terengganu membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Indera Mahkota di Kuantan, pada 6.10 petang, 24 Februari lalu.

Bapa tiga anak itu didapati dengan niat mendatangkan kecederaan terhadap Kamarul Zaharin Abdullah, 51, apabila menyimbah asid sebagai alat yang boleh membahayakan nyawa.

Oleh itu, tertuduh sudah melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Hayati Abdullah yang menawarkan jaminan RM30,000 dengan dua penjamin dan perlu melapor diri di Balai Polis Kemaman setiap bulan serta tidak mengganggu saksi.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, Datuk Syed Aziman Amir Syed Abu Bakar merayu jumlah jaminan dikurangkan.

Dazuki kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Kemaman dan tidak mengganggu saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 April depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 6.10 petang 24 Februari lalu, mangsa yang berusia 51 tahun itu melecur di dada, belakang tengkuk, lengan kiri, pipi kanan, leher dan dahi akibat terkena simbahan asid oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai ‘mat despatch’.

Mangsa dilaporkan stabil dan dirujuk ke sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 12:37 PM