FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

SEORANG pemandu peribadi dihukum penjara sehari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan memalsukan tandatangan pada cek berjumlah RM20,000.

Majistret Tawfiq Affandy Chin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Zaini Dinin, 53, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mohamad Zaini didakwa memalsukan tandatangan bekas majikannya, Mokhtar Hashim, 61, pada cek peribadi berjumlah RM20,000 dengan niat menggunakannya bagi tujuan menipu di Maybank Jalan Tun Razak di sini, pada 10 pagi, 24 Januari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh manakala peguam P. Muniswer yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan itu kesalahan pertama anak guamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 4:00 PM