Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyelesaikan isu dalaman membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepemimpinan parti yang menyokong Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun berkata, beliau dan parti masih menghormati serta menyanjungi kepimpinan Dr Mahathir.

Justeru, beliau meminta semua ahli dan kepemimpinan parti supaya tidak membangkitkan isu membabitkan dua pihak antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

“Jangan buat macam tu, saya sedih. Kita umpama satu keluarga biasalah kadang-kadang lidah tergigit. Carik-carik bulu ayam lama-lama tercantum juga.

“Insya Allah, kita selesaikan dengan baik. Kita bagi peluang (Dr Mahathir) untuk bertenang,” katanya ketika ditemui pemberita di luar kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, tumpuan kini diberikan kepada usaha memajukan negara dan kepentingan rakyat.

Rina Harun. FOTO NSTP
Rina Harun. FOTO NSTP

“Kita sudah melalui seminggu kemelut yang turut dirasai oleh seluruh rakyat. Jadi kita nak akhiri perkara ini dengan lebih baik.

“Kita tidak mampu lagi nak heret rakyat dalam kemelut ini. Kita nak berhenti dan teruskan usaha beri khidmat kepada rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada isu pembentukan Kabinet baharu antara yang dibincangkan pada pertemuan beliau dan Muhyiddin, Rina berkata, perkara itu tidak dibincangkan.

Katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri.

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau dikhianati Muhyiddin apabila Presiden Bersatu memilih untuk bekerjasama dengan UMNO.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 5:50 PM