ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat dua beradik yang ditemui pagi ini. FOTO Ihsan BOMBA.
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat dua beradik yang ditemui pagi ini. FOTO Ihsan BOMBA.
Asrol Awang


MAYAT dua beradik yang lemas selepas hanyut dibawa arus deras Sungai Jelai di Kampung Tanjung Gahai, Lipis Khamis lalu, ditemui, pagi ini.

Mangsa pertama, Siti Suhaida Mohd Rosli, 15, ditemui pada 8.40 pagi iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor, berkata mangsa kedua iaitu Siti Nur Hidayah Mohd Rosli, 19 pula ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian pada 9.20 pagi.

Katanya, kedua-dua mayat dua beradik itu ditemui terapung dan tersangkut pada kayu dan dihantar dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga bermula jam 8 pagi ini membabitkan enam pegawai dan 48 anggota iaitu polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta 10 penduduk kampung serta beberapa bot.

“Operasi SAR tamat pada 9.45 pagi ini selepas kedua-dua mangsa berjaya ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Siti Suhaida dan kakaknya Siti NurHidayah dikatakan ke taman rekreasi di kampung itu bersama tiga lagi beradik mereka.

Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bermain di gigi air dan secara perlahan bergerak ke tengah sungai, sebelum dihanyutkan arus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 1:05 PM