Antara jemaah terkandas yang ditempatkan di sebuah hotel di Madinah berikutan larangan kemasukan penerbangan dari Malaysia bagi membawa mereka pulang. Foto Ihsan Jemaah
Antara jemaah terkandas yang ditempatkan di sebuah hotel di Madinah berikutan larangan kemasukan penerbangan dari Malaysia bagi membawa mereka pulang. Foto Ihsan Jemaah
Nurul Hidayah Bahaudin

SEKURANG-KURANGNYA 800 jemaah dari Malaysia dipercayai terkandas di Jeddah dan Madinah, Arab Saudi disebabkan ekoran arahan larangan kemasukan penerbangan dari Malaysia bagi membawa mereka pulang.

Seorang jemaah yang berada di Madinah ketika ini, Azmir Mohamad, 28, berkata, penerbangan pulang jemaah ke tanah air melalui penerbangan pada 10 malam tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.55 tengah hari dibatalkan.

“Tiada makluman rasmi dikeluarkan pihak syarikat penerbangan dan ada antara kami terpaksa mendapatkan maklumat dari sumber lain termasuk daripada kru penerbangan syarikat penerbangan berkenaan yang dikenali jemaah.

“Ini sesuatu yang amat dikesali kerana pihak syarikat penerbangan sepatutnya menggunakan platform media sosial yang lebih pantas untuk membuat makluman mengenai pembatalan penerbangan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, masih tiada makluman rasmi mengenai pembatalan penerbangan pulang dan bila ia akan digantikan sehingga 7.30 malam (waktu Madinah).

Seorang lagi jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad Lutfi berkata, keadaan mereka terkandas itu diburukkan lagi dengan kelemahan pihak agensi yang tidak tidak berkomunikasi secara baik dengan jemaah.

“Keadaan tidak teratur dan tidak ada sistem. Komunikasi yang mudah mereka gagal tangani hingga kami terpinga-pinga kerana tidak diberi makluman mengenai status penerbangan.

“Kami hanya dihantar ke sebuah hotel berdekatan dengan hotel penginapan sebelum ini tanpa sebarang makluman mengenai status penerbangan gantian dan keadaan ini menyebabkan tercetus ketegangan antara jemaah dan petugas, namun ia berjaya dileraikan,” katanya.

Katanya, difahamkan hotel berkenaan disediakan oleh syarikat penerbangan, namun masih tiada lagi makluman mengenai status penerbangan pulang ke Malaysia.

“Kami tak tahu siapa wakil syarikat penerbangan itu di sini kerana dengan keadaan agensi yang menguruskan pakej ini tidak teratur dan kelam kabut, kami perlu berusaha mendapatkan sendiri maklumat mengenai penerbangan pulang.

“Ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku memandangkan pihak agensi pengurusan umrah seharusnya sudah tahu mengendalikan krisis seumpama ini apatah lagi mereka mempunyai pengalaman lama mengendalikan jemaah,” katanya.

Semalam, Arab Saudi mengeluarkan arahan menggantung kemasukan jemaah umrah dan ziarah Masjid Nabawi berikutan penularan Covid-19 termasuk jemaah dari Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 1:34 AM