GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Asrol Awang


DUA lelaki ditahan malam tadi berkaitan kes seorang sarjan polis melecur selepas disimbah asid di depan rumahnya di Taman Mahkota Putra, Bandar Indera Mahkota di Kuantan pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, suspek pertama berusia 41 tahun ditahan di hadapan sebuah restoran di Chukai, Kemaman pada 8.15 malam.

Menurutnya, lelaki terbabit yang juga pengusaha trak tunda dipercayai adalah suspek utama kes terbabit.

“Bagi tangkapan kedua pula, suspek berusia 40 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik ditahan di rumahnya di Kampung Bahagia susulan daripada tangkapan suspek utama itu.

“Suspek kedua ditahan kerana pemilik motosikal yang digunakan oleh suspek pertama ketika melakukan perbuatan jenayah terbabit.

“Berikutan itu, sebuah motosikal dan beberapa barang yang mempunyai kaitan kes terbabit dirampas untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.

Dalam kejadian pada 6.10 petang Isnin lalu, mangsa yang berusia 51 tahun itu melecur di dada, belakang tengkuk, lengan kiri, pipi kanan, leher dan dahi akibat terkena simbahan asid oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai ‘mat despatch’.

Mangsa dilaporkan stabil dan dirujuk ke sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 6:56 PM