AHLI Parlimen PKR tiba dengan menaiki bas KL Hop-on Hop-Off di luar pekarangan Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad
AHLI Parlimen PKR tiba dengan menaiki bas KL Hop-on Hop-Off di luar pekarangan Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Nasaruddin Parzi dan Muhammad Yusri Muzamir

AHLI Parlimen PKR dilihat mula keluar meninggalkan Istana Negara, 12.50 tengah hari tadi selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat keluar meninggalkan Istana Negara pada 12.40 tengah hari.

Bas membawa pemimpin mereka dilihat keluar dari pintu dua Istana Negara dengan sebahagian besar pemimpin melambai kepada petugas media yang ‘berkampung’ di kawasan itu sejak semalam.

“Semua ‘ok’ ,”kata sebahagian mereka yang berada di dalam bas.

Senyuman yang terukir di wajah kebanyakan Ahli Parlimen PKR juga menunjukkan seolah-seolah pertemuan mereka dengan baginda yang juga Ketua Negara, berlangsung dengan baik.

Laungan ‘Reformasi’ oleh lebih 100 penyokong PKR yang memenuhi tepi jalan kembali kedengaran sebaik bas membawa pemimpin mereka keluar dari pintu dua Istana Negara.

Terdahulu, semua Ahli Parlimen daripada PKR dilihat tiba di Istana Negara di Kuala Lumpur menaiki bas dan diiringi 10 kenderaan, 10.40 pagi tadi.

Ketibaan kumpulan Ahli Parlimen PKR itu disambut laungan 'reformasi' daripada penyokong parti itu yang turut hadir di pekarangan Istana Negara.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 1:21 PM