KAKITANGAN hospital menggunakan penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan jangkitan  Covid-19 di Hospital Sungai Buloh. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
KAKITANGAN hospital menggunakan penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Juwan Riduan


KEMENTERIAN Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, mengesahkan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun dikuarantin kerana mempunyai simptom yang disyaki Covid-19.

Menterinya, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, Juruteknologi Makmal Hospital Kudat itu dikuarantin di rumahnya sebagai Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) (Covid-19) selama 14 hari.

Bagaimanapun katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana wanita itu hanya disyaki.

“Sebelum seseorang itu dianggap dijangkiti Covid-19, dia harus sesuai dengan kriteria yang ditentukan oleh kementerian salah satunya jika dia pernah ke China.

“Tetapi dalam kes ini, dia tidak pergi ke China dan kita sedang memantau perkembangannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, pada 15 Februari lalu, wanita terbabit dikatakan pergi ke Korea selama lima hari bersama beberapa rakannya dan kembali ke Sabah pada 20 Februari.

Ketika itu, dia dikatakan mengalami beberapa simptom seperti batuk, demam, selsema, sakit kepala dan tekak lalu membuat pemeriksaan di Hospital Kudat, semalam.

“Pagi esok saya akan mendapat laporan penuh mengenai ujian ke atas wanita itu,” katanya.

Untuk rekod, tiada sebarang kes Covid-19 dilaporkan di Sabah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 9:26 PM