MOHD Haris (tengah) pada sidang media selepas Program Hari Bertemu Pelanggan PDRM 2020 : Dialog Bersama Pemegang Lesen Senjata Api Daerah Penampang di IPD Penampang. FOTO Juwan Riduan
MOHD Haris (tengah) pada sidang media selepas Program Hari Bertemu Pelanggan PDRM 2020 : Dialog Bersama Pemegang Lesen Senjata Api Daerah Penampang di IPD Penampang. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


POLIS Penampang memberi tempoh tiga bulan kepada 90 pemegang lesen senjata api tumpang pakai di daerah itu untuk mengurus dan mengambil semula senjata api milik mereka.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, tempoh masa itu bermula hari ini dan pemegang lesen diminta memberikan kerjasama.

“Jika tiada usaha untuk mengambil semula senjata itu, saya akan menarik balik lesen dan senjata api itu akan dilupuskan.

“Ini kerana ada senjata api ditumpangkan itu sejak 2001 lagi dan kami sudah memberi kelonggaran tidak mengambil dan mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Hari Bertemu Pelanggan PDRM 2020 : Dialog Bersama Pemegang Lesen Senjata Api Daerah Penampang, hari ini.

Hadir sama, lebih 300 pemegang lesen senjata api sekitar daerah Penampang.

Mohd Haris berkata, pelbagai senjata api ditumpangkan antaranya senapang jenis ‘shotgun’, rifle dan pistol.

Beliau berkata, pemegang lesen senjata api itu membabitkan individu, ahli perniagaan dan milik syarikat.

“Oleh itu, saya mohon kepada pemegang lesen senjata api ini memberi kerjasama untuk tempoh tiga bulan mengambil senjata mereka semula.

“IPD Penampang mencatatkan 607 pemegang lesen senjata api termasuk pemegang lesen senjata api tumpang pakai.

“Inilah matlamat kita untuk bersemuka dengan pemegang lesen supaya mereka sendiri mendengar amanat ini dan tahu apa tindakan perlu dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 8:24 PM