Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PAKAR ekonomi bimbang dengan spekulasi pembentukan pakatan baharu akan mengurangkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi serta potensi pertumbuhan Malaysia.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Jaringan Industri & Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, kestabilan politik memberi kesan terhadap ekonomi negara.

“Jika kita lihat perubahan pemerintahan sebelum ini, pertumbuhan ekonomi negara tidak memberangsangkan kerana pelabur kurang yakin dengan perubahan.

“Mereka (pelabur) akan mengambil langkah berjaga-jaga sama ada ingin melabur atau tidak dan akan akan mengambil tindakan tunggu dan lihat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) , Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, perubahan pemerintahan negara pada masa singkat boleh menjadi baik kepada ekonomi atau sebaliknya.

“Ia bergantung kepada kestabilan politik dan dasar. Jika pemerintahan baharu meneruskan dan memperbaiki dasar yang betul dan baik kepada ekonomi, ini sesuatu yang progresif.

“Pelabur lebih berkeyakinan untuk melabur di Malaysia. Sebaliknya, ekonomi akan terus berada pada tingkat sekarang atau menjadi lebih meruncing jika dasar dan langkah pemerintahan baharu tidak progresif kepada pasaran,” katanya.

PROFESOR Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
PROFESOR Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

Mohd Yusof berkata, perubahan pemerintahan ini mampu menjadi ‘baja’ meningkatkan semula ekonomi negara yang kian suram.

“Jika benar perubahan pemerintahan ini berlaku, ia berlaku ketika mana ekonomi negara sedang bergelut dengan kesan wabak Covid-19, kelembapan ekonomi domestik dan ketidaktentuan persekitaran global.

“Harapannya agar perubahan pemerintahan ini tidak menjadi faktor yang menarik ekonomi terus merudum. Kita mahu terus bergerak ke hadapan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya.

Mengulas isu sama, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, sektor ekonomi negara terjejas jika kestabilan politik tidak segera diselesaikan.

“Kerajaan atau ahli politik perlu segera menamatkan persengketaan dan berharap isu peralihan dapat diselesaikan dengan cepat.

“Faktor kestabilan politik sangat penting kerana kerajaan yang stabil memberi keyakinan kepada pelabur,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 12:53 PM