PPS Sri Buntal menempatkan 50 mangsa banjir dari Kampung Sungai Lumut dan Kampung Buntal. FOTO JPBN
PPS Sri Buntal menempatkan 50 mangsa banjir dari Kampung Sungai Lumut dan Kampung Buntal. FOTO JPBN
Mohd Roji Kawi


SERAMAI 50 penduduk Kampung Sungai Lumut dan Kampung Buntal di Kuching masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sri Buntal, Santubong, pagi hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, mereka membabitkan 14 keluarga yang terjejas selepas kediaman dilanda banjir sejak semalam.

Katanya, jumlah mangsa yang berada di PPS Dewan Sri Buntal itu berkurangan berbanding 55 orang dari 15 keluarga, malam tadi.

“Satu keluarga membabitkan lima orang sudah dibenarkan balik ke rumah mereka hari ini berikutan keadaan banjir yang mula surut.

“Bagaimanapun, hujan yang masih berterusan pagi ini dikhuatiri menyebabkan paras air meningkat semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beberapa kawasan rendah di Kuching dinaiki air berikutan hujan lebat dan sederhana yang berlarutan sejak tiga hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 11:21 AM