PENDARATAN ikan temenung yang banyak  menyebabkan harga ikan itu dijual dengan harga serendah RM2 hingga RM5 sekilogram di pasar nelayan Seberang Kota dan Kubang Rotan, Alor Setar.FOTO Noorazura Abdul Rahman
PENDARATAN ikan temenung yang banyak menyebabkan harga ikan itu dijual dengan harga serendah RM2 hingga RM5 sekilogram di pasar nelayan Seberang Kota dan Kubang Rotan, Alor Setar.FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

PENDARATAN ikan yang banyak di pasar nelayan Seberang Kota dan Kubang Rotan, Kuala Kedah di Alor Setar menjadikan harga ikan temenung dijual pada harga serendah RM2 sekilogram.

Beberapa peniaga mengakui rezeki nelayan pada minggu ini agak luar biasa apabila kebanyakan bot nelayan pantai mampu mendaratkan ikan temenung sehingga satu tan sehari.

Peniaga Romlah Hanapiah, 62, berkata sepanjang 20 tahun dia berniaga di pasar nelayan Kubang Rotan, ia adalah kali pertama mampu menjual harga ikan serendah RM2 sekilogram.

“Semalam anak saya dapat menaikkan ikan sebanyak satu tan, ramai lagi nelayan yang dapat daratkan ikan dengan jumlah hampir sama, jadi kami berpakat untuk turunkan harga sehingga RM2 sekilogram.

“Bagaimanapun, oleh kerana ramai nelayan bercuti hari ini, harga ikan naik sedikit kepada RM4 sekilogram, tapi ia boleh turun semula sekiranya pendaratan ikan kembali banyak esok,” katanya.

Peniaga lain Norizah Mat Isa, 46, berkata dia sudah dua kali menjual ikan temenung pada harga RM2 sekilogram sepanjang minggu ini dan harga ikan itu tidak pernah naik melebihi RM5 sekilogram sejak seminggu lalu.

Katanya, dia dapat menjual lebih 300 kilogram (kg) ikan temenung dengan harga RM2 sekilogram semalam.

“Suami saya juga nelayan, selepas daratkan ikan, kami akan terus jual ikan di sini, penjual ikan di sini akan menjual ikan pada harga yang sama.

“Contohnya hari ini, kami jual ikan temenung berharga RM10 bagi setiap tiga kilogram. Harga ini akan berubah lebih murah jika banyak lagi ikan yang didaratkan,” katanya yang berniaga di pasar nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 3:29 PM