Ketua Sektor Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Rohani Jahis (kiri), Dr T Ravindran dan Ketua Unit Berjangkit dan Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Dr. Patrick@Ramesh K. Periyasamy pada Bicara Persada ke-59 di Canselori UKM. FOTO Saifullizan Tamadi
Ketua Sektor Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Rohani Jahis (kiri), Dr T Ravindran dan Ketua Unit Berjangkit dan Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Dr. Patrick@Ramesh K. Periyasamy pada Bicara Persada ke-59 di Canselori UKM. FOTO Saifullizan Tamadi
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PERSEDIAAN awal sudah dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menghadapi ancaman koronavirus baharu (Covid-19) selepas menerima perkongsian maklumat daripada saintis China.

Ketua Unit dan Molekur Virologi IMR, Dr T Ravindran berkata, data itu dikongsi saintis China sebaik mengesan penularan virus itu di republik berkenaan pada hujung tahun lalu.

Menurutnya, pegawai IMR mendapat data berkenaan menerusi laman web bank data genetik yang dikongsi komuniti saintis dari seluruh dunia bagi membolehkan persediaan awal dapat dilakukan.

“Apabila data berkenaan dikongsi saintis China, IMR sedar persediaan untuk menghadapi virus ini perlu dilakukan segera untuk memastikan Malaysia bersedia jika ia merebak.

“IMR bersedia dengan kaedah rawatan yang selari dan sesuai untuk merawat virus ini seterusnya membolehkan kaedah rawatan sesuai dilakukan hospital negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Persada ke-59, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)- Covid-19: Selamatkah Kita? di Bangi, hari ini.

Program anjuran Pusat Kesihatan UKM itu turut menampilkan barisan panel antaranya Ketua Sektor Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Rohani Janis; Ketua Unit Berjangkit dan Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Dr Patrick K Periyasamy dan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa UKM, Muhamad Akmal Hakim Adnan.

Dr Ravindran berkata, ujian yang dijalankan IMR mengikut piawaian yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dapat mengesan pesakit Covid-19 dalam tempoh 24 jam selepas sampel diterima.

Katanya, kapasiti makmal yang dimiliki IMR membolehkan ujian dilakukan dengan cepat seterusnya memastikan pesakit positif Covid-19 menerima rawatan segera.

“IMR sentiasa bersedia dan terus memantau rapat kewujudan virus lain yang boleh memberi risiko kepada rakyat negara ini dengan kepakaran dan teknologi yang dimiliki institut ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 2:57 PM