KEMENTERIAN Luar Negeri.
KEMENTERIAN Luar Negeri.
Rafidah Mat Ruzki


PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) digalakkan mendapatkan kerjasama Kementerian Luar Negeri bagi melestarikan bantuan dari Malaysia untuk rakyat Palestin.

Kementerian itu, dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini berkata, ia merujuk kepada beberapa laporan media berhubung kenyataan Duta Besar Palestin ke Malaysia pada Selasa lalu mengenai isu sumbangan untuk Masjid Al-Aqsa, Palestin.

Menurutnya, kenyataan itu menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya daripada NGO dan pertubuhan masyarakat madani di Malaysia selain maklum dengan kenyataan bersama yang dikeluarkan bawah nama beberapa NGO pada Rabu lalu.

“Kementerian Luar Negeri memandang serius isu yang dibangkitkan. Pada hari ini, kementerian ini sudah mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Palestin bagi mendapatkan penjelasan.

“Menurut Duta Besar Palestin, kenyataan beliau dibuat berdasarkan rekod daripada pihak pengurusan Masjid Al-Aqsa sejak 2018.

“Bagaimanapun, beliau tidak dapat membuktikan sama ada kutipan derma dibuat khusus untuk disalurkan kepada Jabatan Wakaf Masjid Al-Aqsa yang diuruskan oleh Jordan.

“Dalam konteks ini, kementerian ini juga mengambil maklum kenyataan gabungan NGO yang menyatakan antara lain, dana kutipan daripada rakyat Malaysia dan bantuan kepada rakyat Palestin disalurkan terus melalui rakan NGO masing-masing di Palestin,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, sumbangan berkenaan turut membabitkan bantuan kepada penduduk Palestin di sekitar Masjid Al-Aqsa terutama pada Ramadan.

Katanya, ia menyokong dan menghargai usaha murni yang dilaksanakan oleh NGO di Malaysia dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat Palestin termasuk bantuan kewangan, makanan, perubatan dan pendidikan.

Pada masa sama, ia menyatakan, kementerian itu mempunyai hubungan baik dengan beberapa NGO dan sentiasa memudah cara serta membantu usaha pihak itu menyalurkan bantuan kepada Palestin.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia menyokong kuat perjuangan rakyat Palestin untuk mendapat kebebasan dan mencapai kemerdekaan.

“Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang masih dijajah dan ditindas oleh rejim Israel di wilayah Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza,” katanya.

Selasa lalu, dilaporkan sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk tujuan pembangunan dan pembebasan Masjid Al-Aqsa tidak sampai kepada pihak pengurusan di negara itu.

Difahamkan, derma dan sumbangan mencecah jutaan ringgit setiap tahun yang dikutip di negara ini sepatutnya sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang ditadbir urus Kementerian Wakaf Jordan dan pihak berkuasa Palestin.

Namun, Duta Palestin di Malaysia Walid Abu Ali dipetik berkata keadaan itu dikesan sejak dua tahun lalu selepas pihaknya menerima maklumat tidak ada penyaluran sumbangan daripada rakyat Malaysia untuk Masjid Al-Aqsa, walaupun banyak pihak mengutip dana.

Susulan kenyataan Walid, beberapa NGO Malaysia tampil memaklumkan kutipan yang dijalankan itu diserahkan secara terus kepada rakyat Palestin melalui wakil yang dilantik mereka, sekali gus menafikan dakwaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 8:28 PM