GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zuhainy Zulkiffli


TUKANG gunting rambut cedera di lengan kanan selepas diserang dua lelaki di kedai tempatnya bekerja di Jalan Tanjung Tokong, Georgetown, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, lelaki warga asing berkenaan dipercayai ditoreh dengan pisau di lengan, ketika sedang menggunting rambut pelanggannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian pada 10.04 malam dengan mangsa dihantar orang awam ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilapor stabil.

“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat memasuki premis dan menoreh lengan mangsa berusia 29 tahun sebelum melarikan diri dengan seorang lagi rakannya yang menunggu di luar kedai dengan motosikal.

“Pelanggan yang berada di tempat kejadian cuba mengejar suspek sebaik insiden itu, namun suspek sempat melarikan diri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, suspek dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dan pemeriksaan di kawasan kejadian tidak menjumpai sebarang senjata.

Katanya, ketika kejadian, hanya mangsa dan pelanggannya berada di kedai itu, malah mangsa sudah bekerja di Malaysia sejak tujuh tahun lalu serta memiliki permit sah.

“Kedai gunting rambut itu juga sudah 13 tahun beroperasi dan mempunyai 14 cawangan sekitar Georgetown.

“Kita giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 2:15 PM