ANGGOTA polis menunjukkan kecederaan pada hidung yang dialami. FOTO IHSAN PDRM
ANGGOTA polis menunjukkan kecederaan pada hidung yang dialami. FOTO IHSAN PDRM
Zuhainy Zulkiffli


LELAKI yang bertindak agresif apabila menumbuk muka anggota polis sehingga patah tulang hidung dalam pergelutan ditahan di Jalan Raja Uda, Butterworth, Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah hari, dua anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Assumption, Butterworth mengesan kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 42 tahun itu diarahkan supaya memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, sebaliknya lelaki terbabit memecut laju bagi melarikan diri sebelum berjaya ditahan di Jalan Raja Uda.

“Ketika anggota menjalankan pemeriksaan, suspek bertindak agresif dengan menumbuk muka anggota polis terbabit dan berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditahan.

“Suspek mendakwa dia mahu membuang air besar selain memaki hamun serta merampas semula kunci keretanya daripada anggota polis untuk melarikan diri, tetapi gagal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui satu peket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah sebelum suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

Katanya, suspek mengalami luka di pipi serta dahi kiri ketika bergelut dengan anggota polis dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan doktor juga mengesahkan terdapat keretakan tulang pada hidung anggota polis berkenaan.

“Manakala saringan ujian air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah termasuk dadah,” katanya.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 6:26 PM