GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


PERSATUAN Hotel Malaysia (MHA), menggalakkan orang ramai menyokong industri perhotelan yang sedang membuat promosi dengan tawaran harga rendah.

Presidennya, Kamaruddin Baharin berkata, dalam situasi sekarang pihaknya berharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam membantu merancakkan industri pelancongan domestik.

“Kebanyakan pemain industri pelancongan termasuklah perhotelan, penginapan dan lain-lain seperti ejen pelancongan dan penyedia pengangkutan terjejas teruk akibat penularan wabak koroanvirus baharu (Covid-19).

“Disebabkan itu, hotel-hotel menawarkan pakej istimewa pada harga kompetitif bagi menarik pelancong tempatan kerana kita dapati hotel banyak menerima pembatalan tempahan daripada pelancong asing.

“Kami berharap situasi yang dihadapi pada masa ini tidak akan lama,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamaruddin berkata, Malaysia adalah negara yang masih selamat dan orang ramai tidak perlu khuatir untuk bercuti di seluruh Malaysia.

“Masa inilah orang ramai perlu ambil peluang untuk bercuti sebab banyak hotel yang tawar harga berpatutan serta pakej menarik.

“Orang ramai tak perlu risau kerana semua hotel sudah mengambil langkah penjagaan serta mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi situasi seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata, pihak hotel juga melakukan pemeriksaan terhadap pekerjanya sendiri bagi memastikan tahap kesihatan mereka.

Ditanya mengenai pakej rangsangan yang akan diumumkan kerajaan tidak lama lagi, Kamaruddin berkata, pihaknya berharap cadangan yang diberikan kepada kementerian diambil kira.

“Kami menunggu pengumuman dan sekarang pun kami dalam ‘mood survival’ dan masing-masing bekerja keras serta mempelbagaikan lagi perniagaan. Semoga ada bantuan untuk selamatkan industri pelancongan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 5:57 PM