Gambar hiasan. FOTO The Washington Post.
Gambar hiasan. FOTO The Washington Post.
Balqis Jazimah Zahari


PENGGUNAAN alat pengekodan Crypto AG dijamin hanya untuk operasi jangka pendek dan tidak membabitkan sebarang bentuk penyebaran maklumat penting negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah berbincang mengenai teknologi itu dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan pegawai peringkat kementerian.

“Ada langkah tertentu yang kita ambil untuk memastikan tidak ada data penting yang boleh tersebar di luar daripada batas agensi keselamatan.

“Ini bukan sahaja Malaysia, banyak negara lain juga terbabit, dan yang penting kawalan kerahsiaan itu akan terus kita laksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun ke-48 RELA Peringkat Kebangsaan 2020 di Stadium Indera Mulia di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Abdul Hamid.

Muhyiddin berkata, sememangnya penggunaan teknologi itu buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhad kepada perkara yang bukan untuk menyalurkan maklumat sensitif.

“Hanya untuk komunikasi dalam operasi jangka pendek, bukan untuk operasi jangka panjang serta bukan untuk kita menyalurkan maklumat berperingkat kita,” katanya.

The Washington Post pada 11 Februari mendedahkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) secara rahsia memiliki syarikat Switzerland, Crypto AG yang mengeluarkan teknologi kod komunikasi sulit yang digunakan lebih 120 negara sejak sekian lama.

Teknologi itu turut digunakan sekutu dan musuh AS antaranya Iran, India, Pakistan dan Vatican.

Tiada sebuah negara pun yang menyedari Crypto dikongsi bersama CIA dan dan Perkhidmatan Perisikan Jerman (BND), menurut sejarah CIA dan naratif koresponden daripada agensi perisikan Jerman yang diperoleh akhbar Washington Post dan penyiar awam Jerman ZDF.

Kedua-dua agensi perisikan itu secara sulit meletakkan peranti pada peralatan perkhidmatan menukar maklumat atau data kepada kod yang dijual Crypto bagi membolehkan mereka dengan mudah menggodam komunikasi sulit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 5:54 PM