FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

MESYUARAT Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China di Laos pada 20 Februari ini bakal memperlihatkan solidariti kedua-dua pihak dalam menangani Covid-19, yang merupakan sejenis penyakit koronavirus baharu, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, hari ini.

“Tujuan utama adalah untuk memperlihatkan solidariti ASEAN dengan China dalam menangani isu ini bersama-sama kerana China adalah antara rakan kongsi terbesar ASEAN dalam banyak bidang, terutama perdagangan.

“Ia untuk berkongsi maklumat tentang bagaimana setiap negara anggota ASEAN menangani isu itu dan membuktikan keyakinan kita terhadap China bahawa mereka akan dapat mengatasi situasi itu,” katanya ketika ditanya mengenai mesyuarat yang bakal berlangsung itu.

Saifuddin berkata demikian selepas pertukaran memorandum persefahaman antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar dengan tiga universiti awam iaitu Universiti Malaya, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, setiap negara anggota ASEAN dengan caranya tersendiri telah membantu China sama ada daripada segi kewangan atau lain-lain.

Ditanya mengenai insiden pelajar Malaysia dilaporkan diusir dari sebuah rumah sewa di Perth, Australia susulan kebimbangan jangkitan Covid-19, Saifuddin berkata: “Semua misi kita sedang melakukan terbaik untuk menyalurkan maklumat kepada kita mengenai apa yang berlaku kepada rakyat Malaysia di seluruh dunia.

“Kami biasanya akan membincangkan perkara ini dengan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA). Saya yakin mereka akan menangani isu ini.”

Saifuddin berkata, kerajaan mempunyai satu sistem berkaitan isu Covid-19, yang menyaksikan kenyataan berhubung perkara itu dikeluarkan NADMA atau Kementerian Kesihatan manakala Wisma Putra mengendali proses membawa balik rakyat Malaysia dari kawasan yang terjejas.

Dalam laporan insiden rakyat Malaysia diusir itu, dikatakan pelajar itu pulang ke Malaysia pada 24 Januari sempena cuti Tahun Baharu China, namun tuan rumahnya mengusir beliau sejurus kembali ke Australia pada 4 Februari.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 9:10 PM