PENGARAH PERKESO Negeri Sembilan, M Nallusamy. FOTO Mohd Amin Jalil
PENGARAH PERKESO Negeri Sembilan, M Nallusamy. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


SAMBUTAN daripada golongan bekerja sendiri terhadap Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan sosial (PERKESO) di Negeri Sembilan, sangat memberangsangkan.

Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, M Nallusamy berkata, walaupun skim itu baharu diperluaskan kepada 19 sektor tidak formal bermula awal tahun ini, pihaknya sudah menerima permohonan daripada 3,062 orang.

“Sambutan sangat baik apabila setakat hari ini, kami menerima 3,062 permohonan daripada individu untuk menyertai skim SKSPS.

“Mereka mewakili pelbagai sektor termasuk penumpang, makanan, perkhidmatan sokongan, pembinaan, pengangkutan barangan, perniagaan perawatan dan pemulihan kesihatan, ejen, pertanian, perniagaan atas talian, penjaja, pembuatan dan perkhidmatan profesional.

“PERKESO negeri akan terus melipatgandakan usaha untuk mempromosikan skim ini supaya lebih ramai individu bekerja sendiri sedar akan kepentingan perlindungan keselamatan sosial," katanya.

Beliau ditemui selepas selesai program Jelajah SKSPS 2020 di Dewan Raja Melewar, Wisma PERKESO Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Seramai 50 peserta dari seluruh negeri hadir pada program jelajah pertama diadakan itu.

Nallusamy berkata, individu bekerja sendiri yang mencarum di bawah skim berkenaan akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar.

Beliau berkata, mereka perlu merebut peluang mendaftar dan mencarum dengan PERKESO susulan kelonggaran daripada tindakan undang-undang.

“PERKESO menyediakan kadar caruman rendah dan terdapat empat opsyen disediakan mengikut anggaran pendapatan bulanan seseorang dengan kadar paling rendah ialah sebanyak RM157.20 sehingga RM592,80 setahun atau RM13.10 hingga RM49.40 sebulan.

“Kerajaan berusaha untuk melaksanakan skim SKSPS ini kepada pekerja sendiri agar mereka dilindungi sekiranya berlaku perkara tidak diingini sehingga menyebabkan hilang punca pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 4:52 PM