WAN Azizah (kanan) bimbang dengan hasil kajian SKMM mengenai Kajian Pengguna Internet 2018. FOTO NSTP
WAN Azizah (kanan) bimbang dengan hasil kajian SKMM mengenai Kajian Pengguna Internet 2018. FOTO NSTP
BERNAMA

KAJIAN DiGi CyberSAFE2015 mendapati satu daripada empat kanak-kanak mungkin bersetuju berjumpa seseorang yang baharu dikenali mereka di Internet.

Walaupun ia hanya membabitkan 25 peratus namun ia amat merunsingkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, kebimbangan itu ditambah dengan dapatan Kajian Pengguna Internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa 37.6 peratus ibu bapa tidak sedar akan kawalan ibu bapa dalam penggunaan Internet.

Menurutnya, segelintir ibu bapa turut menggunakan gajet sebagai medium mengawal dan mengasuh anak-anak mereka atau dengan kata lain cyber nanny.

“Kerajaan memandang serius ancaman siber terhadap kanak-kanak.

“Kita akur kanak-kanak menggunakan media sosial, open platform education serta aplikasi digital bagi memperolehi maklumat dan interaksi sosial. Ini mendedahkan mereka kepada ancaman siber seperti pornografi, child grooming dan sexting yang kini semakin menular serta membimbangkan banyak pihak.

“Susulan itu kerajaan masih melaksanakan proses penggubalan kerangka perundangan bagi menangani kes gangguan seksual dan diskriminasi gender.

“Bagi tujuan itu, 16 sesi libat urus diadakan membabitkan pelbagai pihak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, antara pihak terbabit adalah Kementerian Luar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik berpengalaman serta mempunyai kepakaran berkaitan.

Special Project Team (SPT) ini ditubuhkan sejak Februari tahun lalu.

“Sesi ini (libat urus) akan diteruskan lagi dengan membabitkan lebih ramai pihak berkepentingan.

“Buat masa ini, kementerian menumpukan kepada proses pembentangan rang undang-undang (RUU) gangguan seksual di Parlimen tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas melancarkan Majlis Perasmian Hari Keselamatan Internet atau Safer Internet Day (SID) 2020–Edisi Malaysia dan Forum “Memupuk Fasih Digital Di Era Millenia” di sini semalam.

Antara elemen dalam draf rang undang-undang itu adalah definisi gangguan seksual yang menyeluruh, mekanisme pengaduan dan penyelesaian lebih efektif, elemen remedi dan penalti selain mengesyorkan standard pembuktian bersesuaian dan adil bagi semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:10 AM