Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid

KERAJAAN masih melaksanakan proses penggubalan kerangka perundangan untuk menangani diskriminasi berasaskan gender.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebanyak 16 sesi libat urus sudah diadakan membabitkan pelbagai pihak.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, antara yang terbabit ialah Kementerian Luar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik berpengalaman serta mempunyai kepakaran berkaitan.

“Special Project Team (SPT) ini sudah ditubuhkan sejak Februari tahun lalu.

“Sesi ini (libat urus) akan diteruskan lagi dengan membabitkan lebih ramai pihak yang berkepentingan.

“Buat masa ini, kementerian sedang menumpukan kepada proses penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas melancarkan majlis perasmian Hari Keselamatan Internet atau ‘Safer Internet Day’ (SID) 2020-Edisi Malaysia dan Forum ‘Memupuk Fasih Digital Di Era Millenia’ di Putrajaya hari ini.

Disember lalu beliau dipetik berkata, cadangan tribunal khas akan termasuk dalam Akta Gangguan Seksual kelak.

Tribunal khas itu, katanya, untuk mendengar dan menangani kes gangguan seksual di negara ini.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, kerajaan memandang serius ancaman siber terhadap kanak-kanak.

“Kita akur bahawa kanak-kanak menggunakan media sosial, ‘open platform education’ serta aplikasi digital bagi memperolehi maklumat, dan interaksi sosial turut berhadapan dengan ancaman siber.

“Menurut satu kajian DiGi CyberSAFE2015, satu daripada empat kanak-kanak yang dikaji mungkin akan bersetuju untuk berjumpa dengan seseorang yang baharu dikenali mereka di Internet.

“Walaupun 25 peratus, ia amat merunsingkan saya,” katanya.

Beliau berkata, ia ditambah pula dengan dapatan Kajian Pengguna Internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa 37.6 peratus ibu bapa tidak sedar akan kawalan ibu bapa dalam penggunaan Internet.

Menurutnya, segelintir ibu bapa turut menggunakan gajet sebagai medium untuk mengawal dan mengasuh anak-anak mereka atau dengan kata lain ‘cyber nanny’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 1:03 PM