Mangsa maut digilis kereta api. FOTO Juwan Riduan.
Mangsa maut digilis kereta api. FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


LELAKI ditemui maut dalam keadaan mengerikan selepas digilis kereta api di landasan kereta api Kampung Bakalau, di Beaufort, pagi tadi.

Kejadian itu disedari orang awam sebelum melaporkannya kepada polis jam 7.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, sebaik menerima panggilan daripada orang awam, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pegawai penyiasat yang tiba di lokasi menemui mayat lelaki berada di tengah landasan dalam keadaan tertiarap. Mangsa dikenali sebagai Charlieyon Dasmon, 27.

“Mangsa parah di kepala, putus pergelangan tangan kanan dan pergelangan kaki kiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kereta api berusia 52 tahun tidak menyedari kejadian itu sehingga dimaklumkan kakitangan stesen Beaufort.

“Berdasarkan rakaman percakapan dilakukan terhadap isteri si mati, mangsa keluar rumah dan pergi kerja pada 7.30 pagi semalam,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 8:32 PM